Monday, 26 November 2012

Konvokesyen UiTM ke 77

 
 Seramai 27,626 graduan menerima diploma dan ijazah masing-masing dalam 22 sidang yang berlangsung di kampus induk UiTM Shah Alam, enam sidang di UiTM Perlis, lima sidang di UiTM Terengganu dan tiga sidang masing-masing di UiTM Perak dan Sarawak.


Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah bertitah agar Universiti Teknologi Mara (UiTM) mempertingkatkan kerjasama antarabangsa berimpak tinggi seperti terhasilnya cadangan penubuhan Pusat Penyelidikan Kawalan Banjir untuk manfaat rakyat dan negara.

Titah Seri Paduka, kerjasama antara UiTM, University of Stuttgart, Germany, berserta beberapa institusi lain dalam inisiatif penubuhan pusat penyelidikan kawalan banjir itu merupakan momentum kerjasama antarabangsa berimpak tinggi yang akan meletakkan UiTM dalam peta dunia.

"Maka, beta menyeru semua pihak agar momentum kerjasama antarabangsa yang berimpak tinggi ini dapat dipertingkatkan lagi agar nama universiti dan nama negara dipandang mulia dan dihormati dan yang pentingnya, rakyat turut merasai hasil daripada kerjasama seumpama ini," titah Tuanku Abdul Halim pada sidang pertama Istiadat Konvokesyen UiTM kali ke-77, di Dewan Agong Tuanku Canselor (DATC) di sini, hari ini.

Turut berangkat Raja Permaisuri Agong Tuanku Hajah Haminah.

Seri Paduka bertitah walaupun UiTM sudah menjadi universiti yang terbesar dan tersohor di dalam negara, namun falsafah asalnya untuk memberi peluang belajar di peringkat tinggi kepada kaum bumiputera, untuk sama-sama mengambil bahagian dan menyumbang kepada pembangunan negara bersama kaum lain yang lebih maju tidak pernah dilupakan.


"Lebih membanggakan lagi ia telah mendapat perhatian dunia," titah Seri Paduka.


Tuanku Abdul Halim turut bertitah agar alumni UiTM bersatu padu dalam persatuan yang dapat menyumbang semula kepada universiti itu agar kesinambungan kejayaan UiTM akan bertambah dari aspek kuantiti dan kualitinya.

Dengan jumlah alumni UiTM pada masa kini sudah mencecah setengah juta orang, Seri Paduka dalam titahnya pasti kesemua mereka sedikit sebanyak telah menyumbang bakti kepada negara.

Tuanku Abdul Halim dalam titahnya turut meminta para graduan supaya sentiasa berbudi bahasa, bersopan santun, menyayangi, menghormati ibu bapa dan orang tua.


"Inilah nilai budi pekerti budaya kita yang halus lagi tinggi dan ianya tidak boleh dilupakan, dipinggirkan ataupun diketepikan serta taatlah perintah agama, Insya-Allah kita akan berjaya," titah Seri Paduka.


Sementara itu, Naib Canselor UiTM Datuk Seri Prof Sahol Hamid Abu Bakar dalam ucapannya pula berkata Pusat Penyelidikan Kawalan Banjir yang bakal ditubuhkan itu akan membolehkan warga UiTM melakukan penyelidikan bagi mencari penyelesaian dalam masalah banjir di negara ini, seterusnya dikembangkan ke peringkat antarabangsa.


Katanya walaupun UiTM kini telah menjadi universiti terbesar di negara ini, peranan asasnya tidak pernah dilupakan malah diperkasakan lagi melalui program khas, 'Mengubah Destini Anak Bangsa' yang ditubuhkan hampir tiga tahun lalu.


"Program khas ini kini telah berjaya menyelamatkan 15,000 anak muda yang mungkin tidak menentu hala tujunya jika tidak kerana program ini, yang telah mendapat perhatian bukan sahaja di dalam negara malah di peringkat antarabangsa," titah baginda.


Sahol Hamid turut berterima kasih kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak kerana telah meluluskan penubuhan Yayasan Destini Anak Bangsa dan meletakkannya di bawah kelolaan Jabatan Perdana Menteri sendiri.


"Dengan ini, saya pasti perjuangan mengubah destini anak bangsa ini akan lebih perkasa dan meluas untuk dinikmati oleh rakyat," titah baginda.


Seramai 27,626 graduan menerima diploma dan ijazah masing-masing dalam 22 sidang yang berlangsung di kampus induk UiTM Shah Alam, enam sidang di UiTM Perlis, lima sidang di UiTM Terengganu dan tiga sidang masing-masing di UiTM Perak dan Sarawak.


Daripada jumlah itu, seramai 14,027 orang menerima Diploma, 12,466 menerima Ijazah Sarjana Muda, 27 menerima Diploma Lepasan Ijazah, 152 Ijazah Profesional, 927 Ijazah Sarjana dan 27 orang menerima Ijazah Doktor Falsafah (PhD).



Sumber : B. Harian

No comments:

Post a Comment