Tuesday, 4 December 2012

Graduan UiTM jadi ejen pengimbang - Sahol




Kira-kira setengah juta siswazah Universiti Teknologi Mara (UiTM) berupaya menjadi ejen pengimbang perbezaan sosioekonomi antara kaum di negara ini.
Naib Canselornya, Prof. Datuk Seri Dr. Sahol Hamid Abu Bakar berkata, kesemua lepasan universiti itu kini menyumbang bakti di segenap pelosok negara serta dunia dan mereka komited memainkan peranan masing-masing.


"Tanpa graduan UiTM, jurang itu sudah pasti semakin besar. Alhamdulillah universiti ini telah memainkan peranannya dalam memperkasakan kaum bumiputera yang dahulunya miskin," katanya ketika berucap merasmikan sidang pertama Istiadat Konvokesyen UiTM ke-77 di kampus UiTM Terengganu di sini semalam.

Turut hadir, Rektor UiTM cawangan berkenaan, Dr. Abdol Samad Nawi serta para pensyarah kanan universiti itu.
Pada sidang pertama pagi semalam, seramai 314 graduan menerima ijazah dan diploma masing-masing selain 347 graduan lagi pada sidang kedua sebelah petangnya. 

Istiadat konvokesyen yang dibahagikan kepada lima sidang dan berakhir Isnin ini melibatkan kesemua 1,659 graduan UiTM Terengganu.
Sahol Hamid berkata, UiTM dianggap istimewa berdasarkan kemampuannya mengubah anak bangsa termasuk beliau sendiri yang datang daripada keluarga miskin dan kini bergelar Naib Canselor.

Beliau turut menarik perhatian, untuk istiadat konvokesyen UiTM kali ini, seramai 27,626 graduan akan menerima diploma dan ijazah masing-masing.
Katanya, sebanyak 22 sidang berlangsung di Kampus Induk UiTM Shah Alam, enam sidang di UiTM Perlis, lima sidang di UiTM Terengganu, masing-masing tiga sidang di kampus cawangan Perak dan Sarawak.

Daripada jumlah itu katanya, seramai 14,027 orang menerima diploma, 12,466 (ijazah sarjana muda), 27 (diploma lepasan ijazah), 152 (ijazah profesional), 927 (ijazah sarjana) dan 27 menerima ijazah doktor falsafah (PhD).

Sumber : Utusan Online

No comments:

Post a Comment