KENYATAAN AKHBAR YB MENTERI PENGAJIAN TINGGI MENGENAI PELANTIKAN NAIB CANSELOR UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA
Kementerian Pengajian Tinggi hari ini mengumumkan pelantikan YBhg.
Datuk Prof. Dr. Fauzi b. Hj. Ramlan sebagai Naib Canselor Universiti
Putra Malaysia (UPM) yang baharu bagi menggantikan YBhg. Profesor Dato’
Ir. Dr. Radin Umar bin Radin Sohadi. Pelantikan ini adalah untuk tempoh
tiga (3) tahun berkuat kuasa mulai 1 Januari 2013 hingga 31 Disember
2015.
ASAS-ASAS PEMILIHAN
UPM merupakan sebuah
universiti berstatus penyelidikan yang mempunyai pelbagai kepakaran dan
niche dalam bidang pertanian. Pemilihan YBhg. Datuk Prof. Dr. Fauzi b.
Hj. Ramlan sebagai Naib Canselor UPM adalah berdasarkan kepada kriteria
yang telah ditetapkan oleh Kementerian serta mengambil kira pengalaman
akademik, penyelidikan, dan kepakaran beliau serta pengalaman memegang
jawatan Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) Universiti
Putra Malaysia. Pemilihan beliau diharapkan dapat membawa UPM ke tahap
yang lebih tinggi di peringkat negara dan juga antarabangsa.
LATAR BELAKANG PENDIDIKAN DAN KERJAYA
YBhg. Datuk Prof. Dr. Fauzi b. Hj. Ramlan dilahirkan pada 15 Oktober
1960 dan berasal dari Johor. Beliau mempunyai Diploma Pertanian daripada
Universiti Pertanian Malaysia, diikuti dengan Bachelor of Science
(Agronomy) dari Iowa State University, Master of Science dari Louisiana
State University dan seterusnya PhD. (Biology) dari Universiti of York.
Beliau merupakan Profesor dalam bidang pertanian di Universiti Putra
Malaysia dan sebelum dilantik sebagai Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal
Pelajar dan Alumni) di UPM, beliau pernah berkhidmat di Jabatan
Pengajian Tinggi, Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia sebagai Pengarah
di Bahagian Pengurusan dan Pembangunan Pelajar.
Kecemerlangan
beliau dalam bidang pertanian juga telah mendapat pengiktirafan
daripada Japanese International Cooperation Agency (JICA) di mana beliau
telah menerima biasiswa untuk menerima latihan di Okinawa International
Center selama setahun dan ditauliahkan Certificate of Agriculture oleh
University of the Ryukyu. Di samping itu, beliau merupakan seorang yang
komited terhadap pembangunan pelajar dan aktif dalam aktiviti
penyelidikan pertanian.
FOKUS DAN CABARAN UPM
Sebagai
Naib Canselor baharu, kementerian berharap beliau dapat memastikan UPM
akan terus memberi fokus kepada isu dan cabaran kecukupan makanan (food
security) dalam konteks negara dan global. Peranan ini boleh dicapai
melalui penghasilan modal insan berpengetahuan tinggi dan hasil
penyelidikan yang dapat mencipta ilmu baharu yang mampu melonjakkan lagi
kualiti sektor pertanian negara khususnya. Ini bersesuaian dengan
matlamat UPM menjadi Pusat Kecemerlangan Pendidikan, Penyelidikan dan
Perkhidmatan Pertanian, dan Biosumber Tropika yang tersohor dan
berwibawa.
PENGHARGAAN DAN TERIMA KASIH KEPADA NAIB CANSELOR TERDAHULU
Kementerian Pengajian Tinggi ingin merakamkan setinggi-tinggi
penghargaan dan terima kasih kepada YBhg. Profesor Dato’ Ir. Dr. Radin
Umar bin Radin Sohadi, mantan Naib Canselor UPM. Kepimpinan dan bakti
yang dicurahkan beliau semenjak dilantik pada Januari 2011 telah berjaya
mengekalkan kecemerlangan UPM sebagai sebuah universiti yang ulung di
peringkat kebangsaan dan antarabangsa.
DATO’ SERI MOHAMED KHALED NORDIN
3 Januari 2013
No comments:
Post a Comment