Saturday, 26 January 2013

Peluang Pelajar Miskin Masuki IPTA, Politeknik

 
Pelajar daripada keluarga miskin dan berpendapatan 40 peratus terendah kini berpeluang melanjutkan pelajaran melalui pelaksanaan kaedah baharu kemasukan ke institut pengajian tinggi awam (IPTA) dan politeknik bermula tahun ini.

Menurut Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, kaedah tersebut untuk memastikan kumpulan pelajar terbabit dapat melanjutkan pelajaran ke peringkat tinggi biarpun tercicir melalui sistem pemilihan berasaskan prinsip meritokrasi.Sebanyak 5,200 tempat disediakan kepada pelajar berkenaan iaitu 100 tempat bagi setiap IPTA dan politeknik.Golongan ini terdiri daripada kumpulan keluarga miskin, tinggal di luar bandar, pedalaman Sabah dan Sarawak, estet-estet atau Orang Asli yang tidak mendapat kemudahan sebaiknya termasuk golongan miskin bandar.

''Pencapaian mereka tidak begitu cemerlang berbanding pelajar yang tinggal di bandar tetapi mereka lulus syarat am kemasukan ke universiti, namun tidak dapat menyaingi pelajar lain berasaskan prinsip meritokrasi.
''Oleh itu kerajaan bersetuju membantu kumpulan pelajar ini dengan meluaskan akses pendidikan tinggi supaya tidak menafikan peluang mereka untuk melanjutkan pelajaran,'' kata Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin,.selepas merasmikan Karnival Pengajian Tinggi Negara Kesembilan di Universiti Malaya.

Kaedah baharu itu akan menjadi agenda tanggungjawab sosial korporat institusi pendidikan melahirkan golongan cerdik pandai tanpa mengira latar belakang.Bilangan tempat yang disediakan kepada kumpulan pelajar tersebut tidak akan mengganggu unjuran dan kapasiti pengambilan pelajar sedia ada di IPTA dan politeknik. Kaedah baharu ini terbuka untuk semua jurusan di peringkat diploma atau ijazah di IPTA dan politeknik dan mereka juga boleh memohon pembiayaan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) berdasarkan syarat dan prosedur sedia ada.

No comments:

Post a Comment