Tuesday, 22 January 2013

UiTM Pemangkin Agenda Nasional


PENUBUHAN Universiti Teknologi Malaysia (UiTM) menjadi pemangkin kepada hala tuju agenda nasional pada masa depan. Penubuhannya berbeza dengan penubuhan Institusi Pengajian Tinggi (IPT) yang lain di negara ini.

Bersesuaian dengan peranan dan penubuhannya, UiTM hari ini terus memacu kecemerlangan memperkukuhkan pembangunan akademiknya supaya graduan bumiputera yang dilahirkan menjadi profesional sekali gus meletakkan kedudukan bumiputera setanding dengan bangsa lain di dunia.
Naib Canselor UiTM, Prof. Datuk Seri Dr. Sahol Hamid Abu Bakar berkata, keunikan UiTM dalam memperkasa bumiputera dilihat melalui kanta strukturnya yang cukup besar dalam merealisasikan agenda pendidikan nasional negara.

"Penubuhannya adalah untuk survival bumiputera dalam pengimbang kepada keharmonian negara dan ia perlu berpaksikan dengan keperluan perubahan warga universiti dan masyarakat dalam meningkatkan jati diri dan menjadikan ilmu sebagai salah satu budaya bagi kehidupan mereka.

"Dalam hal ini, tumpuan perlu diberikan kepada teras kualiti akademik dengan komponen utama universiti, pensyarah dan pelajar yang menjadi pemangkin kepada agenda nasional dalam hala tujunya itu menjadi kenyataan," katanya ketika ditemui di kampus utama UiTM Shah Alam baru-baru ini.

Kata beliau, hala tuju itu meletakkan bumiputera di negara ini yang merupakan aset paling berharga melalui pembangunan modal insan dan anjakan minda dalam meletakkan UiTM menjadi institusi pengajian terkemuka di negara ini.

"Sekiranya kita ingin melangkah ke era globalisasi berpaksikan maklumat dan pengetahuan ke arah negara maju dan kekal pada tahap tersebut, pembangunan modal insan bumiputera harus diutamakan. Justeru, dalam merealisasikan hasrat itu UiTM perlu sedar tentang harapan seluruh lapisan masyarakat khususnya orang Melayu kepada UiTM adalah tinggi.

"Prestasi UiTM sentiasa dinilai dari masa ke semasa dan UiTM tidak boleh membuat kesilapan dalam aspek pelaksanaan dasarnya yang memperjuangkan bumiputera. Justeru, UiTM perlu mendapat sokongan daripada pelbagai pihak khususnya orang Melayu supaya ia terus berada pada landasan yang kukuh ke arah menjadi institusi yang memperjuangkan bumiputera dalam menghadapi perubahan dan daya saing yang mewarnai landskap hari ini.

"Justeru nilai akademik yang utama seperti budaya menerokai ilmu, budaya berfikir, bersikap kritikal, tidak mudah putus asa untuk menghasilkan penemuan baru serta mencari kebenaran berdasarkan pelbagai disiplin ilmu dan sokongan ke atas kepimpinan negara perlu dipertahankan," kata Dr. Sahol Hamid.
Pada masa yang sama UiTM perlu berpijak di bumi nyata dengan menyepadukan ilmu dengan keperluan gunaan termasuk industri kerana masyarakat mengharapkan UiTM menghasilkan sesuatu yang sesuai dengan keperluan negara.

"Hala tuju masa depan menggariskan kepada anjakan paradigma, memperkasakan budaya kesarjanaan dan profesional menerapkan nilai insaniah serta melahirkan graduan berkemahiran tinggi meliputi cabaran kecemerlangan dalam pengajaran-pembelajaran; penyelidikan; keupayaan institusi pendidikan tinggi memberikan sumbangan kepada ekonomi dan masyarakat; kecemerlangan keupayaan institusi pendidikan tinggi dalam melaksanakan fungsi-fungsi terasnya perlu diperkasa," katanya. 

Sahol berkata, dalam melangkah ke era ekonomi berpaksikan pengetahuan, UiTM akan terus memperkasa kualiti pengajar dan kewibawaannya dalam memperkukuhkan usaha melahirkan graduan profesional yang berperanan membangun diri, ilmu, masyarakat dan negara serta mampu bersaing di peringkat negara dan global. 

"Ternyata pembangunan insan yang terancang rapi memastikan pencapaian sasaran enrolmen kearah 200,000 pelajar menjelang 2015 berjaya dilaksanakan . Modal insan berkualiti menjadi lonjakan perdana dan memperbaiki daya saing negara. Elemen komitmen dan integriti perlu disemai agar mereka lebih berilmu dan kompetitif. Inilah cabaran besar dan juga misi nasional yang dipikul oleh UiTM pada 2013 ini.," katanya.
Dalam pada itu, Sahol berkata dalam konteks UiTM, kualiti akademik tidak bermakna dan tidak terhad kepada pengiktirafan ISO semata-mata.

Katanya, mutu akademik perlu diperluaskan yang merangkumi pelbagai dimensi ilmu dan budaya keilmuan.
"Mutu pengajian tinggi perlu di lipat gandakan dan diperkasakan. Usaha membangunkan UiTM sebagai pusat kecemerlangan serantau pendidikan peringkat tertiari perlu dipertingkatkan. Walaupun banyak kejayaan telah diperolehi oleh UiTM, namun UiTM perlu melipatgandakan usaha menggarap kejayaan lebih unggul demi Membina Tamadun dan Menjulang Martabat Negara," katanya.

No comments:

Post a Comment