Saturday, 30 March 2013

UTHM Jadi IPTA Pertama Lahir Jurutera Senggara Pesawat Terbang Berijazah


Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) hari ini menandatangani memorandum perjanjian (MoA) dengan Dilog Training and Services Sdn Bhd (DTS) untuk menjadi institusi pengajian tinggi awam pertama di Malaysia yang melahirkan jurutera penyenggaraan pesawat terbang berijazah menjelang 2016.


Penolong Naib Canselor, Prof Dr Hashim Saim berkata, melalui perjanjian itu, pelajar yang sedang mengikuti program Sarjana Muda Kejuruteraan Teknologi Aeronautik (Penyenggaraan Pesawat Terbang) di kampus Parit Raja, Batu Pahat, Johor, bakal mengikuti kursus perlesenan penyenggaraan pesawat terbang yang dikendalikan oleh DTS, sebuah institusi latihan penyenggaraan pesawat terbang swasta yang diiktiraf sepenuhnya oleh Jabatan Penerbangan Awam Malaysia (DCAM).

 

"Melalui MoA ini, graduan yang dilahirkan bukan saja memiliki segulung ijazah, malam layak untuk memiliki lesen DCAM Part 66, B1.1-Turbine Engine, Aircraft Maintenance Engineer yang dikeluarkan oleh DCAM," katanya kepada pemberita selepas menandatangani perjanjian berkenaan, di sini, hari ini.

 

DTS diwakili oleh pengarah urusannya, Brigadier Jeneral (Bersara) Datuk Anim Harun dan disaksikan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) Datuk Abdul Rahim Md Noor.

 

Prof Hashim berkata, dengan termeterainya perjanjian itu, graduan program berkenaan berpeluang untuk berkerjaya dalam lebih banyak bidang di dalam industri penerbangan, termasuk sebagai jurutera profesional.

 

Katanya, perjanjian berkenaan turut mengukuhkan lagi jalinan kerjasama antara UTHM dan DTS, yang bermula apabila kedua-dua pihak menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) pada 2008 untuk menambah baik kurikulum dan sukatan pelajaran Sarjana Muda Kejuruteraan Teknologi Aeronautik (Penyenggaraan Pesawat Terbang) supaya relevan dan mematuhi piawaian dan peraturan Agensi Kelayakan Malaysia (MQA), KPT dan DCAM. 
Sumber : UTHM

No comments:

Post a Comment