Saturday, 27 April 2013

GRADUAN lepasan IKBN jadi rebutan dan pengisian jawatan

 
GRADUAN lepasan Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Peretak sentiasa menjadi rebutan dan pengisian jawatan dalam perkhidmatan di negara ini.

Menurut Ketua Pengarah Bahagian Kemahiran, Kementerian Belia dan Sukan, Saari Salleh, golongan itu menjadi rebutan kerana bukan sahaja memiliki kemahiran malah hasil kerja mereka dapat meningkatkan produktiviti organisasi dan memajukan bidang keusahawanan. Mutu dan hasil kerja graduan IKBN memuaskan hati organisasi sekali gus produk IKBN sentiasa menjadi pilihan utama. 

‘‘Kesedaran untuk mendapatkan graduan dari IKBN Peretak dan 20 IKBN lain di negara ini terus menjadi pilihan dan Persatuan Alumni IKBN nerupakan landasan penting untuk mereka bertemu dan membincangkan hala tujunya,’’ katanya ketika berucap merasmikan Mesyuarat Agung kali ke-2 Alumni IKBN Peretak baru-baru ini.

Menurutnya, beliau percaya persatuan yang dipimpin oleh graduan kelahiran IKBN ini akan menjadi persatuan yang disegani dan bertindak bukan sahaja sebagai penghubung kepada lepasan IKBN malah dapat mengumpul dan merencanakan hala tuju mereka.

Bagi tujuan itu, katanya, Bahagian Kemahiran khususnya telah menganjurkan Persidangan Barisan Pemimpin Pelajar IKBN yang membabitkan 21 IKBN dan beberapa Alumni telah dijemput untuk berkongsi pengalaman kejayaan mereka termasuk bagaimana pemantapan Alumini perlu dipertingkatkan.

Dalam pada itu, Penyelaras Media, Universiti Utara Malaysia (UUM) yang juga Graduan Seni Foto 1984, Samsudin Oli Mohamed mengekalkan jawatan Yang DiPertua Alumni IKBN Peretak sebulat suara bersama Timbalan Yang Dipertuanya, Abd Ra’ai Osman.

Alumni IKBN Peretak yang didaftarkan pada 2011 telah mengadakan pelbagai aktiviti kemasyarakatan antaranya termasuklah Program Bersama Orang Asli bagi membantu masyarakat setempat, melancarkan kempen sehari sekampit beras dan menziarah alumni yang sakit.

No comments:

Post a Comment