Tuesday, 30 April 2013

Nostalgia UM


SEBANYAK 500 koleksi gambar bekas pelajar Universiti Malaya (UM) dipamerkan pada Pameran Foto Alumni Universiti Malaya Old Versus New di Galeri Seni, Universiti Malaya.


Pameran bermula dari 15 April hingga 3 Mei itu mengumpulkan koleksi-koleksi gambar yang diperoleh daripada bekas- bekas pelajar universiti tersebut sejak dari awal penubuhannya hingga kini.

Dianjurkan oleh Pertubuhan Pentas Lakon Universiti Malaya (Pelakon) dengan kerjasama Bahagian Hal Ehwal Pelajar dan Pusat Peningkatan Institusi, itu merupakan cetusan idea terbaru projek Pelakon dalam mempelbagaikan program dan aktivitinya.

Antara alumni Universiti Malaya yang menyerahkan koleksi gambar ialah Isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor; Pengerusi Top Glove, Tan Sri Lim Wee Chai; bekas Naib Canselor UM, Prof. Diraja Ungku Aziz dan pengacara popular, Aznil Nawawi.

Menurut Pengarah Pameran itu, Ahmad Syahmi Naim Mohd, pihaknya berjaya mengumpulkan gambar-gambar baharu dan lama iaitu sejak kampus UM beroperasi di Singapura sehingga sekarang.

Beliau yang juga Yang Dipertua Pertubuhan Pentas Lakon Universiti Malaya berkata, ini bertujuan untuk mengumpulkan foto-foto yang telah diambil oleh bekas pelajar, pensyarah, staff, kakitangan mahupun sesiapa sahaja yang pernah merakamkan kenangan dalam bentuk fotografi di kampus UM termasuk kegiatan luar kampus. 

Foto-foto yang dikumpulkan itu dipamerkan kepada umum di Galeri Seni Universiti Malaya agar dapat menjadi pembakar semangat kepada para pelajar yang kini sedang menuntut di universiti itu untuk mencontohi kejayaan bekas pelajar.

Katanya, pengumpulan gambar-gambar itu bertujuan mendidik pelajar-pelajar universiti hari ini supaya berfikir mengenai perbezaan persekitaran pembelajaran pada masa dahulu dan sekarang.

“Dari sini pelajar-pelajar akan dapat lihat perbezaan aktiviti-aktiviti yang dijalankan oleh pelajar-pelajar dahulu. Sebagai contoh, terdapat aktiviti yang sudah tidak dijalankan pada hari ini seperti Persatuan Kungfu yang amat aktif suatu ketika dulu, tetapi sekarang sudah tidak ada lagi.

“Mungkin ada perkara dulu lebih baik, dan ada juga perkara yang sekarang yang lebih baik.
“Melalui pameran ini, kita juga akan mula menjalinkan hubungan dengan para alumni UM," katanya.

Ahmad Syahmi berkata, pihaknya mengambil masa tiga bulan untuk mengumpulkan kesemua koleksi-koleksi gambar milik alumni-alumni UM.

“Kita menghadapi sedikit kesukaran untuk mendapatkan koleksi gambar tersebut kerana bukan semua alumni ingin berkongsi gambar-gambar lama mereka," katanya.

Selain daripada pameran foto-foto lama dan baru warga UM, orang awam yang hadir menyaksikan pameran itu turut dihiburkan dengan beberapa persembahan seperti nyanyian, deklamasi sajak yang diiringi dengan gesekan biola dan persembahan tarian. Semua persembahan dibawakan oleh pelajar UM.

Foto-foto itu seterusnya akan disalurkan kepada Perpustakaan Universiti Malaya sebagai sebahagian daripada koleksi universiti untuk rujukan dan kegunaan di masa hadapan.
 
Sumber : Utusan Online

No comments:

Post a Comment