Tuesday, 2 April 2013

UKM tumpu ekopelancongan


UNIVERSITI Kebangsaan Malaysia (UKM) mahu menumpukan lebih banyak kajian penyelidikan berkaitan eko-pelancongan di Langkawi melalui penubuhan Pusat Penyelidikan Langkawi (PPL) yang beroperasi sepenuhnya tahun lalu.

Naib Canselornya Prof. Tan Sri Dr. Sharifah Hapsah Syed Hasan Shahabudin berkata, penyelidikan itu akan digerakkan dengan kerjasama pelbagai agensi bagi memberi manfaat kepada pembangunan lestari Langkawi.
Katanya, usaha itu bertepatan dengan matlamat UKM yang mahu mengangkat PPL sebagai pusat penyelidikan yang cemerlang dalam sumber alam dan budaya masyarakat bagi tujuan mengukuhkan eko-pelancongan di Langkawi.
‘‘Pulau Langkawi masih menyimpan banyak lagi khazanah yang menunggu masa untuk diselidik dan dibongkar oleh penyelidik.
‘‘Oleh itu, dengan adanya PPL, lebih mudahlah UKM mengukuhkan kerjasama dengan pelbagai agensi kerajaan, swasta dan masyarakat di Langkawi untuk meningkatkan lagi penghasilan penemuan yang unik,’’ katanya,

Beliau berkata demikian pada majlis perasmian Hari Terbuka PPL 2013 yang disempurnakan oleh Ahli Jemaah Pemangku Sultan Kedah, Tan Sri Tunku Intan Shafinaz Tuanku Abdul Halim juga Pro-Canselor UKM di Kompleks PPL dekat Pantai Kok, Langkawi, Kedah baru-baru ini
Katanya, UKM telah menjalinkan kerjasama dengan Lembaga Pembangunan Langkawi (Lada) sejak 1996 dan Underwater World tahun lalu dalam kajian akuamarin.

‘‘Kajian-kajian yang dilaksanakan oleh UKM di Langkawi telah menghasilkan inovasi dalam pengurusan pemuliharaan dalam pembangunan lestari,’’ ujarnya.
Pada masa yang sama, ujar beliau, konsep Geoforest Park sebagai kawasan konservasi terancang diperkenalkan di Machincang Cambrian Forest, Klim Karst Geoforest Park dan Dayang Bunting Marble Geoforest Park.

Ini merupakan satu-satunya konsep di dunia berjaya dipelopori kumpulan penyelidik UKM dan pengurusan Langkawi Geopark sendiri.

‘‘Status Langkawi sebagai geopark telah banyak mengubah corak sosioekonomi masyarakat pulau permata Kedah ini melalui geo-pelancongan," katanya.

Hari Terbuka PPL 2013 bertema Menyemarakkan Penyelidikan Untuk Pembangunan Lestari diadakan selama lima hari bermula 17 mac lalu.

PPL dibina pada 2009 dengan kos RM11 juta dan beroperasi sepenuhnya pada awal tahun lalu.

Artikel Penuh : Utusan Online

No comments:

Post a Comment