Monday, 20 May 2013

Anugerah Pengarah Politeknik


Keputusan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tidak melayakkan Che Ku Afifah Che Ku Alam, 22, menyambung pelajaran ke universiti yang diidamkan.

Dia kecewa, namun tidak mematahkan semangatnya, malah belajar daripada kegagalan untuk bangkit semula dan Politeknik Kuala Terengganu (PKT) memberi ruang kepadanya untuk membuktikan keupayaan sebenar.
Hari ini, graduan yang berasal dari Gong Badak dekat sini dipilih sebagai penerima Anugerah Pengarah Politeknik dalam Majlis Konvokesyen PKT Ke-12 di sini.

Dia yang kini menyambung pelajaran di peringkat ijazah di Universiti Tun Hussien Onn Malaysia (UTHM), Johor dalam bidang Kejuruteraan Elektronik mengakui menghadapi cabaran ketika peringkat awal melanjutkan pengajian di PKT.

Jelas anak kepada Pengetua Sekolah Kebangsaan Durian Burung, Che Ku Alam Che Ku Ali, 57, dan Penolong Jurutera Radio Televisyen Malaysia, Naimah Rosnan, 56, ini kerana dia perlu bersaing dengan pelajar-pelajar lelaki yang lebih sinonim dengan jurusan itu.

"Walaupun begitu, saya bangga kerana dapat melakukan kerja-kerja yang dilakukan oleh pelajar lelaki dan dipilih pula sebagai pelajar terbaik dengan memperoleh Purata Nilai Gred Kumulatif 3.85," katanya ketika ditemui selepas majlis berkenaan di Taman Tamadun Islam dekat sini, hari ini.

Che Ku Afifah yang turut dipilih penerima Anugerah Kecemerlangan Jabatan merupakan antara 198 graduan yang menerima diploma masing-masing di mana sebanyak 108 graduan dalam bidang Kejuruteraan Elektrik, Teknologi Maklumat dan Komunikasi (84) manakala enam orang lagi menerima Sijil Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik.

Turut menerima penghargaan ialah Naurah Malihah Zakaria (Anugerah Kecemerlangan Jabatan Teknologi Maklumat dan Komunikasi) manakala Anugerah Projek Terbaik diberikan kepada Mohammad Norhakim Mohammad Yasin, Mohammad Mursyiddin Zainal Abidin, Tuan Ahmad Fahmi Tuan Sembok dan Mohd. Fadlisham Abdul Kadir.

Penganugerahan sijil dan diploma graduan disempurnakan oleh Setiausaha Bahagian, Bahagian Dasar dan Antarabangsa Kementerian Pelajaran dan Pengajian Tinggi, Ahmad Nazri Sulaiman.

Sementara itu, Pengarah PKT, Radiah Che Su dalam ucapannya memaklumkan, sehingga kini PKT telah melahirkan seramai 3,254 graduan dengan 60 peratus daripada mereka mendapat pekerjaan selepas enam bulan menamatkan pengajian manakala 20 peratus lagi melanjutkan pelajaran mereka ke peringkat ijazah.
 
Sumber : Utusan Online

No comments:

Post a Comment