Sunday, 12 May 2013

Arshad Ayub dianugerah Ijazah Doktor Kehormat University of South Wales

 Arshad Ayub dianugerah Ijazah Doktor Kehormat University of South Wales
Pro Canselor Universiti Teknologi MARA (UiTM) Tan Sri Arshad Ayub hari ini dianugerahi Ijazah Doktor Kehormat dari Universiti of South Wales, United Kingdom atas sumbangan dan pengorbanannya membangunkan UiTM dalam memberi khidmat terbaik kepada anak bangsa di bidang pendidikan.

Penganugerahan itu disampaikan oleh Pro Canselor merangkap Pengerusi Lembaga Pengarah University of South Wales, Prof John Andrews sempena Istiadat Konvokesyen UiTM ke-78 di Dewan Agung Tuanku Canselor (DATC) di sini hari ini.

Sidang pertama Istiadat Konvokesyen itu memperlihatkan seramai 386 graduan, dengan 25 daripadanya graduan di peringkat Doktor Falsafah dan 361 graduan di peringkat Ijazah Sarjana, menerima ijazah.
  
Arshad yang dikenali sebagai 'Bapa Pembangunan ITM', dalam ucapannya pada istiadat konvokesyen itu menyarankan agar UiTM, dulunya ITM, terus memainkan peranan dengan meningkatkan penyelidikan, pengumpulan dan pemeliharaan ilmu pendidikan sains dan teknologi, sains sosial serta pengurusan dan  perniagaan agar universiti itu terus menjadi rujukan pada masa akan datang. 
  
Dalam pada itu, tokoh usahawan terkenal Pengerusi Kumpulan Emkay, Tan Sri Datuk Mustapha Kamal Abu Bakar turut dianugerahkan Ijazah Doktor Kehormat (Perniagaan dan Keusahawanan) UiTM.
  
Mustapha Kamal merupakan seorang tokoh usahawan berjaya yang menjadi kebanggaan rakyat Malaysia khususnya bangsa Melayu.
  
Pengiktirafan itu berdasarkan kepimpinannya melibatkan pelbagai projek pembangunan hartanah dan korporat sejak tahun 1983.
  
Antara projek yang berjaya dilaksanakannya ialah Taman Meru Jaya (1983), Bandar Baru Sungai Buloh (1985) dan yang terbaru Rumah Mampu Milik Streling Prima di Cyberjaya. - Bernama

No comments:

Post a Comment