Monday, 27 May 2013

Graduan Cemerlang Selesa Mengajar di Pedalaman


Graduan Institut Pendidikan Guru (IPG) cemerlang yang berasal dari Kuching, Josephine Ensuua Anak Jouse tidak berkecil hati, malah berasa gembira apabila ditempatkan di Sekolah Kebangsaan Abok, Sri Aman yang terletak di kawasan pedalaman.


Josephine yang juga atlet lompat jauh dan lompat kijang di peringkat IPG turut berazam untuk mencungkil bakat sukan dalam kalangan murid di kawasan luar bandar.

"Saya langsung tidak merungut apabila ditempatkan di sekolah kawasan pedalaman, saya melihat ia sebagai cabaran yang perlu dihadapi oleh setiap guru," katanya yang merupakan graduan IPG Sarawak.

Josephine berkata demikian kepada pemberita selepas menerima Anugerah Khas Kokurikulum daripada Menteri Pendidikan II, Datuk Seri Idris Jusoh pada Konvokesyen IPG di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC).

Beliau memilih pengkhususan Pemulihan (Bahasa Melayu) kerana mahu membantu murid yang berdepan masalah pembelajaran seperti membaca, menulis dan mengira.

"Sebelum ini saya memang pernah bercadang memilih pengkhususan dalam bidang sukan, tetapi akhirnya saya memilih pengkhususan lain kerana mahu mencuba benda yang baharu," katanya.

Seorang lagi graduan cemerlang, J. Prabu dari Kuala Lumpur berkata, dia berasa selesa untuk mengajar di luar bandar setelah berkhidmat selama enam bulan di Sekolah Jenis Kebangsaan (Tamil) Ladang Buluh Akar, Parit, Perak.

"Mula-mula memang tidak dapat membiasakan diri dengan persekitaran berlainan, tetapi saya kini semakin selesa untuk berkhidmat di luar bandar.

"Sebagai seorang guru, kita mesti terus berjuang untuk melahirkan anak bangsa yang berkualiti," katanya yang merupakan penerima Anugerah Khas Kepimpinan.

Dalam pada itu, pemenang Anugerah Emas Menteri Pendidikan, Nurul Syuhada Mat Hussin berkata, beliau bangga kerana cita-cita kesemua tiga adik-beradiknya untuk menjadi guru tercapai.

"Saya mahu ucapkan setinggi-tinggi terima kasih kepada ayah dan ibu yang menjadi sumber inspirasi kami selama ini," katanya.


Sumber : Utusan  

No comments:

Post a Comment