Friday, 28 June 2013

KPTM Bakal Berstatus Kolej Universiti


 

Proses penjenamaan semula dan transformasi yang dilakukan berjaya mengangkat kedudukan Kolej Poly-Tech Mara (KPTM) sebagai institusi pengajian tinggi swasta bumiputera yang terbesar dalam negara dari segi bilangan pelajar.
Pengerusi KPTM, Datuk Sohaimi Shahadan berkata, sejak penubuhannya, KPTM kini mempunyai lapan buah kampus cawangan di seluruh negara dengan bilangan pelajar seramai hampir 17,000 orang mengikuti pelbagai pengajian di peringkat diploma dan sarjana muda.


Beliau berkata, kecemerlangan akademik yang ditonjolkan oleh KPTM turut melayakkannya untuk ditawarkan sebagai kolej universiti selepas memenuhi syarat-syarat ditetapkan.


"Sasaran kita adalah untuk menambah pengambilan pelajar sehingga 20,000 dalam tempoh lima tahun ini, tetapi bergantung kepada kemudahan kampus dan asrama," katanya kepada pemberita di sini baru-baru ini.

Mengulas lanjut, Sohaimi berkata, dalam usaha mengukuhkan lagi kedudukan KPTM, pihak kolej telah menjalin kerjasama dengan pelbagai institusi pengajian tinggi tempatan dan luar negara termasuk dari New Zealand dan negara rantau ASEAN.


Selain itu katanya, pihak KPTM juga menyasarkan seramai 60 peratus tenaga pengajarnya memiliki ijazah doktor falsafah (PhD) berbanding kira-kira hanya 20 peratus ketika ini.


Untuk itu katanya, pihak KPTM akan menawarkan peluang melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi kepada tenaga pengajar berkelayakan.



No comments:

Post a Comment