Wednesday, 26 June 2013

KUIPs, WICS meterai kerjasama

 
Kolej Universiti Islam Perlis (KUIPs) dan World Islamic Call Society (WICS) yang berpangkalan di Tripoli, Libya memeterai perjanjian kerjasama dalam bidang akademik dan wakaf baru-baru ini.


KUIPs diwakili oleh Rektornya, Dr. Mohd. Mizan Mohammad Aslam, manakala WICS yang merupakan pertubuhan wakaf terbesar di dunia diwakili oleh Presidennya, Dr. Abdul Karim Khalil, pada majlis yang berlangsung di Istana Arau.

Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail dan Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berangkat menyaksikan majlis menandatangani perjanjian itu.
Hadir sama Duta Besar Libya ke Malaysia, Dr. Anwar Al-Fitouri dan anggota lembaga pengarah WICS Dr Jamal Badi.

Perjanjian itu adalah yang julung-julung kali melibatkan institusi pengajian tinggi di Malaysia dan badan pengurusan wakaf terbesar berkenaan.

Mohd. Mizan berkata, antara kandungan perjanjian itu ialah membolehkan KUIPs yang merupakan institusi pengajian berlandaskan wakaf, dapat dipromosi di Asia Barat dan seluruh dunia.

Selain itu, perjanjian berkenaan mampu menjalin hubungan jangka panjang antara ilmuan, pentadbir dan pelajar di kedua-dua institusi selain mempromosi peluang pengajaran, penyelidikan serta pertukaran budaya.
Kedua-dua pihak juga merancang peluang kerjasama lain, termasuk jalinan usahasama strategik dalam bidang ekonomi dan sosial ke arah kesejahteraan ummah di samping memperkasa dana wakaf melalui agenda formal serta terancang.

Terdahulu, KUIPs dan WICS mengadakan mesyuarat khas dan pembentangan peluang usahasama di Kangar, yang antara lain, memfokus kepada kerjasama perniagaan dan pembangunan tanah wakaf.
Mohd. Mizan juga berkata, keuntungan yang dijana daripada usahasama itu akan disumbang kepada pembangunan fizikal dan akademik KUIPs.

Turut dibincang ialah sumbangan sumber berbentuk buku, penempatan pensyarah berkaliber dari Asia Barat, pertukaran kepakaran akademik dan mobiliti pelajar.

WICS juga akan membiayai pembinaan sebuah bangunan khusus untuk KUIPs yang bakal dinamakan sebagai sumbangan Wakaf WICS. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment