Friday, 21 June 2013

Staf UTeM beriadah dengan Naib Canselor

 
SEBANYAK 200 kakitangan Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) telah mengikuti aktiviti Riadah Bersama Naib Canselor di Kompleks Sukan Kampus Induk universiti itu baru-baru ini.


Peserta terdiri daripada kakitangan Pejabat Pendaftar, Fakulti Teknologi Maklumat dan Komunikasi (FTMK), Pusat Bahasa dan Pembangunan Insan (PBPI) dan Pusat Jaminan Kualiti dan Aktreditasi (PJKA).
Mereka bersama-sama dengan Naib Canselor, Prof. Datuk Dr. Ahmad Yusoff Hassan menjalankan aktiviti berjalan pantas di stadium universiti itu.

Menurut Ketua Pusat Sukan UTeM, Dr. Asiah Mohd Pilus, program anjuran Pusat Sukan, Pejabat Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (HEPA) diadakan secara bergilir.
"Ini meliputi setiap fakulti dan jabatan bagi menggalakkan gaya hidup sihat dengan melakukan aktiviti riadah," katanya.

Jelasnya, program itu bertujuan mempromosikan aktiviti riadah dan menanam minat dalam kalangan staf untuk bergiat cergas dalam sukan seterusnya melahirkan warga universiti yang sihat.

Turut hadir dalam program itu Pendaftar UTeM, Datuk Hassan Sirun; Bendahari, Khairul Taib; Dekan FTMK Prof. Madya Dr. Mohd. Khanapi Abd. Ghani dan Pengarah PJKA Prof. Madya Shahdan Md. Lani.

Acara riadah dimulakan dengan regangan otot, senamrobik dan diteruskan dengan berjalan pantas mengelilingi trek olahraga di Stadium UTeM.

Dr. Ahmad Yusoff yang ditemui dalam program itu melahirkan rasa gembira di atas sambutan ditunjukkan oleh semua pihak untuk menjayakan segala aktiviti yang dirancang.

1 comment:

  1. I like your post ,now I must complete my research for my paper.

    Finance Dissertation

    ReplyDelete