Thursday, 20 June 2013

Tingkat potensi diri dalam pasaran kerja

 

Graduan dan profesional yang melawat Hari Terbuka dan Pameran Pascasiswazah Universiti Putra Malaysia (UPM) baru-baru ini berpeluang mendengar taklimat tentang Linkedln, sebuah syarikat rangkaian antarabangsa profesional dan sosial di dunia siber.

Syarikat itu menghantar wakil dari Singapura, Atul Harkisanka yang diatur oleh Azroul Liza Khalid, Ketua Pegawai Eksekutif Institut Mentari, sebuah kolej swasta di Kuala Lumpur yang telah menjadi rakan jaringan Moscow State Medical University di Malaysia.

Menurut Azroul, beliau melihat banyak peluang untuk graduan dan golongan profesional Malaysia mengiklankan potensi diri mereka melalui LinkedIn.

Atas sebab itu, beliau mengambil inisiatif untuk bekerjasama dengan LinkedIn dan menjemput mereka untuk bercakap dengan graduan dan profesional di Malaysia dan UPM merupakan organisasi pertama dalam senarainya.

"Graduan dan profesional kita harus meluaskan skop dengan melihat dunia sebagai majikan mereka atau rakan perniagaan yang berpotensi. LinkedIn merupakan salah satu rangkaian di seluruh dunia yang membantu mereka yang sedang mencari pekerjaan dan juga dicarikan oleh majikan," katanya.

Hari Terbuka dan Pameran Pascasiswazah Universiti Putra Malaysia (UPM) mencatatkan peningkatan jumlah pelajar yang mendaftar program pasca-siswazah (sarjana dan PhD) sebanyak 70 peratus iaitu meningkat daripada 800 kepada 1,350 kali ini. Program dari 25 dan 26 Mei itu memberi penerangan kepada bakal pelajar dan orang awam tentang pelbagai program pascasiswazah di UPM dan prospek kerjaya.

LinkedIn diasaskan oleh Reid Hoffman pada tahun 2002 dan sehingga kini, ia dikatakan mempunyai keahlian sebanyak 225 juta daripada lebih 200 negara dan wilayah.

Azroul Liza menambah, beliau menekankan kepentingan memberi pelajar bimbingan yang betul dari pakar LinkedIn dan dia akan cuba mengaturkan lebih banyak lawatan Linkedln ke negara ini kerana ia akan memberi manfaat kepada siswazah Malaysia dalam menyediakan diri untuk mengisi pasaran kerja berdasarkan kelayakan mereka.

No comments:

Post a Comment