Sunday, 30 June 2013

Wakil UTeM bakal bawa cabaran negara di Hong Kong


Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) terus melakar kejayaan membanggakan selepas muncul johan dalam pertandingan Materials Lecture Competition 2013 (MLC 2013) di Kuala Lumpur, baru-baru ini. 


Kejayaan itu dilakar Farahani Irna Nazari yang membawa pulang wang tunai RM3,000 berserta sijil penghargaan seterusnya akan mewakili negara dalam pertandingan akhir di peringkat antarabangsa di Hong Kong.

Dalam pertandingan itu, Farahani Irna mengetepikan cabaran peserta daripada institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dan swasta (IPTS) untuk bergelar johan.

Syarahannya berkaitan penggunaan bahan alternatif dalam penghasilan baja urea untuk masa depan bumi yang lebih hijau dan selamat berjaya memikat juri dalam pertandingan tersebut.

Farahani Irna berkata, dia gembira kerana syarahannya yang bertajuk 'CaLS for Green Fertilizer and Greener Earth' iaitu penyelidikan berkenaan bahan kalsium lignosulphonate membawa tuah kepadanya.

"Penggunaan bahan tersebut menjadikan baja yang dihasilkan lebih selamat seterusnya menyumbang kepada kelestarian alam sekitar," katanya yang juga penuntut Sarjana dari Fakulti Kejuruteraan Pembuatan UTeM.

Sementara itu, pensyarah kanan Fakulti Kejuruteraan Pembuatan UTeM, Prof. Madya Dr. Jariah Juoi selaku mentor kepada Farahani Irna berkata, pertandingan tersebut dianjurkan Institut Bahan Malaysia dengan kerjasama Institute of Materials, Minerals and Mining (IOM3) Cawangan Malaysia.

Jariah berkata, kejayaan tersebut melayakkan UTeM mewakili negara ke pertandingan akhir peringkat antarabangsa yang dijadualkan berlangsung di Hong Kong Oktober ini.


No comments:

Post a Comment