Friday, 12 July 2013

41,573 calon ditawar ke IPTA


Putrajaya: Sebanyak 41,573 calon lepasan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM)/Matrikulasi/Asasi ditawarkan untuk mengikuti pengajian di 20 institusi pengajian tinggi awam (IPTA) bagi sesi akademik 2013/2014.
Ketua Pengarah Pengajian Tinggi, Prof Datuk Moshidi sirat, berkata jumlah itu adalah 71.9 peratus daripada 57,802 pemohon yang layak dan melepasi Syarat Am Universiti serta Syarat Khas Program Pengajian.

Daripada jumlah itu, 24,489 calon (58.9 peratus) adalah daripada aliran sains, manakala 17,084 calon (41.1 peratus) daripada aliran sastera.

Dari segi jantina, 13,293 calon (32 peratus) adalah lelaki, manakala 28,280 calon (68 peratus) adalah perempuan, katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan, semalam.

Beliau berkata, dari segi pecahan kaum, seramai 30,903 calon (74.3 peratus) adalah Bumiputera, 7,913 calon (19 peratus) Cina, 1,824 calon (4.4 peratus) India dan 933 calon (2.3 peratus) dari lain-lain kaum.

Bergantung kepada merit

Selain itu, 49 calon orang Asli, 68 calon Orang Kurang Upaya (OKU) dan 1,515 atlit kebangsaan serta antarabangsa berjaya mendapat tempat di IPTA.
Kejayaan calon memperoleh tempat bergantung kepada susunan merit dan pemilihan program pengajian di IPTA dipohon. Jika merit calon tidak begitu tinggi dan memohon program pengajian kompetitif, kemungkinan besar calon tidak terpilih untuk ditawarkan program pengajian mereka.

Begitu juga jika calon hanya memohon di IPTA popular, calon akan menghadapi persaingan yang tinggi dan akhirnya tidak mendapat tawaran daripada IPTA berkenaan, katanya.

Beliau berkata, bagi sesi akademik 2013/2014, seramai 68,702 calon mengemukakan permohonan, peningkatan 7.6 peratus berbanding permohonan diterima pada sesi lalu 2012/2013.

No comments:

Post a Comment