Friday, 12 July 2013

Risau anak diterima ke IPTA

Risau anak diterima ke IPTA
PASIR MAS – Seorang suri rumah di Kampung Hutan Pasir, runsing memikirkan perbelanjaan yang diperlukan untuk membiayai pengajian anak, sekiranya diterima masuk ke institusi pengajian tinggi awam (IPTA), September ini.

Ibu, Radiah Rifin, 45, berkata, anaknya, Siti Aidah Othman, 20, merupakan pelajar terbaik peringkat Kebangsaan setelah mendapat keputusan 5A dalam Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) tahun lalu.

Menurutnya, berbekalkan gaji suami yang bekerja sebagai tukang kebun di Sekolah Menengah Kebangsaan Tendong, ia hanya dapat menampung perbelanjaan harian mereka sekeluarga.


“Pastinya yuran pengajian di universiti kelak, menelan belanja ribuan ringgit bagi satu semesta. Kami orang susah, tak mampu nak sediakan wang yang banyak, kerana perlu menyara anak-anak yang lain,” katanya, semalam.


Radiah turut risau, sekiranya Aidah terpaksa mengikat perut, semata-mata mahu melunaskan perbelanjaan lain ketika berada di universiti kelak.


Sementara itu, Aidah berkata, dia memohon kemasukan ke Universiti Sains Malaysia (USM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Malaya (UM) dan beberapa IPTA lain.


Anak sulung dari tiga beradik ini berkata, dia mahu mengejar cita-cita sebagai seorang pensyarah dalam bidang sasterawan pendidikan atau ekonomi.


Selepas itu katanya, dia mahu membalas jasa bapa, Othman Daud, 50, kerana sanggup mengayuh basikal ke tempat kerja, semata-mata mahu mengurangkan perbelanjaan harian.


“Jika diterima ke IPTA, Pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional Malaysia (PTPTN) menjadi pilihan utama saya, kerana permohonan biasiswa hanya dibuka pada bulan Mac tahun depan.


“Saya tidak sanggup membebankan mereka, dengan perbelanjaan pengajian yang terlalu tinggi,” katanya.


Sumber : Sinar Harian

No comments:

Post a Comment