Thursday, 8 August 2013

Arshad Ayub Canselor pertama INTI IU


Tokoh pendidikan tinggi negara, Tan Sri Arshad Ayub telah dilantik sebagai Canselor INTI International University (INTI IU) yang pertama.

Pelantikan beliau dibuat serentak dengan majlis tamat pengajian para pelajar kelas 2013 di kampus universiti itu di Nilai.

Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengerusi Lembaga Pengelola INTI IU, Amit Sevak berkata, pelantikan Arshad memberi makna yang amat besar kepada universiti itu memandangkan pengalaman luas dan sumbangan beliau kepada bidang pendidikan tinggi di negara ini.

"Lembaga Pengelola INTI IU sangat berbesar hati dengan kehadiran Tan Sri Arshad sebagai Canselor oleh komuniti universiti ini.

"INTI akan terus memberi tumpuan mentranformasikan para pelajar kami dan memberi pendidikan terbaik kepada mereka untuk menjadi cemerlang," katanya.

Sementara itu, Arshad berkata, beliau berkongsi iltizam dan keazaman komuniti INTI untuk membawa institusi itu ke peringkat yang lebih tinggi di barisan hadapan pendidikan di Malaysia.

"Saya harap dapat bekerjasama rapat dengan fakulti dan kakitangan serta rakan kongsi di peringkat tempatan dan komuniti antarabangsa untuk mengukuhkan asas bagi melahirkan pelajar berpengalaman dari INTI," katanya.

Majlis tamat pengajian itu menyaksikan lebih 270 graduan INTI menerima ijazah masing-masing dengan 91 peratus daripada mereka mencapai kepujian kelas pertama atau kedua dalam Perakaunan, Pentadbiran Perniagaan, Perniagaan Antarabangsa, Perancangan Perakaunan, Kejuruteraan Mekanikal dan Kejuruteraan Awam.

Sumber : Utusan Online

No comments:

Post a Comment