Friday, 16 August 2013

Langkah terbaik UiTM beri peluang kedua


Langkah Universiti Teknologi Mara (UiTM) memberi peluang kedua kepada pelajar yang kurang cemerlang bagi melanjutkan pelajaran disifatkan sebagai usaha terbaik demi membela pendidikan anak bangsa.


Presiden Persatuan Orang Kota Bharu (POKB), Sheikh Ahmad Dusuki Sheikh Mohamad berkata, universiti itu tidak akan rugi jika memberi peluang kepada generasi muda mencipta kecemerlangan.

"POKB berterima kasih kepada Naib Canselornya yang mengambil pendekatan di luar kotak dengan idea-idea yang sangat kreatif dalam usaha meneruskan membela anak bangsa. 

"Hanya dengan berilmu sahaja anak bangsa akan dapat mewarisi tanah tumpah darah berdaulat ini," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Naib Canselor UiTM, Tan Sri Prof. Ir. Dr. Sahol Hamid Abu Bakar semalam bahawa universiti itu sedang mencari jalan untuk memberi tempat kepada semua iaitu mereka yang memperoleh keputusan terbaik, sederhana dan yang kurang bernasib baik agar turut sama berpeluang melanjutkan pengajian.

Menurut Sahol Hamid, kelayakan untuk mengikuti pengajian di UiTM menunjukkan saingan tinggi dalam kalangan pelajar sekarang apabila masing-masing memperoleh keputusan cemerlang dalam peperiksaan.
Dalam pada itu, Sheikh Ahmad Dusuki berkata, kerajaan diharap dapat memastikan perkara berkaitan logistik adalah mencukupi untuk semua kakitangan dan pensyarah agar para pelajar dapat meneruskan pengajian mereka tanpa halangan.

"POKB juga menyokong penuh tawaran UiTM bagi memberi peluang kedua kepada pelajar di pusat matrikulasi yang belum mendapat tempat di mana-mana institusi pengajian tinggi awam (IPTA) untuk meneruskan pengajian diploma di UiTM.

Sumber : Utusan Online

No comments:

Post a Comment