Monday, 12 August 2013

UMK ceburi industri aplikasi

Universiti Malaysia Kelantan (UMK) terus mengorak langkah dalam bidang industri aplikasi selepas berjaya membangunkan projek Komik Digital Android.


Kejayaan itu dicapai melalui Fakulti Teknologi Kreatif dan Warisan (FTKW) UMK yang berjaya membangunkan produk e-Gamelan hasil kerjasama dengan Multimedia Development Corporation (MDeC).

Berikutan kejayaan tersebut, FTKW diberi penghormatan menjadi rakan kerjasama MDeC bagi menjayakan Program Pembangunan Kandungan Bersepadu Ketiga (ICON 3) yang diadakan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur pada 28 Julai lalu.

Dalam Program ICON 3, UMK diwakili oleh enam pelajar dan dua pensyarah iaitu Ahmad Tarmizi Azizan dan Dr. Khairul Azhar Mat Daud.

Projek e-Gamelan UMK berjalan semasa di bawah Program ICON 2 yang lalu. Aplikasi tersebut telah dibangunkan oleh lapan pelajar Ijazah Sarjana Muda Teknologi Kreatif (Multimedia) melalui Bahagian Reka Bentuk dan Teknologi Kreatif, Fakulti Teknologi Kreatif dan Warisan UMK di bawah seliaan Prof. Madya Ab. Aziz Shuaib, Ahamad Tarmizi dan Mohd. Syukran Kamaruzzaman. 

Projek Komik Digital pula merupakan kesinambungan penganjuran Program Train of Trainer (ToT) Aplikasi Android anjuran dan kerjasama FTKW dengan MDeC dan syarikat ICC Sdn. Bhd. pada Februari lalu.
Projek itu turut mendapat kerjasama Persatuan Pelukis Kartun Malaysia dan Persatuan Penggiat Komik Malaysia.

Dalam pada itu Dekan FTKW, Prof. Dr. Abu Hasan Hasbullah yang turut hadir dalam majlis pelancaran ICON 3 menerima cenderamata daripada MDeC yang disampaikan oleh Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Jailani Johari.

Pelancaran ICON 3 sebagai penunjuk arah bahawa MDeC terus komited untuk memperkasa pembangunan ekosistem perusahaan aplikasi mudah alih dalam negara. 

ICON3 akan membolehkan pengusaha industri aplikasi mudah alih mendapat lebih banyak peluang ekonomi dalam pasaran aplikasi yang sedang berkembang pesat masa kini.

Sempena pelancaran ICON 3, MDeC turut mengumumkan beberapa kerjasama dalam pembangunan ekosistem perusahaan aplikasi mudah alih dengan beberapa syarikat seperti Celcom, Digi, Nokia, Microsoft, Blackberry dan agensi kerajaan seperti MAMPU, wilayah-wilayah koridor pembangunan dan universiti seperti Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan UMK.

Sumber : Utusan Online

No comments:

Post a Comment