Monday, 2 September 2013

32,000 pelajar daftar sesi akademik 2013/2014


Lebih 32,000 pelajar mendaftar diri bagi memulakan pengajian sesi akademik 2013/2014 membabitkan 10 universiti awam seluruh negara mulai semalam.

Daripada 25,000 permohonan yang diterima, hanya 4,684 pelajar dipilih untuk melanjutkan pengajian dalam pelbagai bidang yang ditawarkan Universiti Sains Malaysia (USM) Pulau Pinang.

Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pula menerima kemasukan 3,325 pelajar bagi mengikuti pengajian yang ditawarkan menerusi 12 fakulti. Fakulti Sains dan Kemanusiaan UKM menerima kemasukan paling ramai iaitu 507 pelajar.


Universiti Malaya (UM) pula menerima seramai 2,558 pelajar termasuk 108 pelajar antarabangsa yang berasal dari 25 negara seluruh dunia.

Seramai 3,303 pelajar menerima tawaran mengikuti pengajian peringkat sarjana muda yang ditawarkan oleh Universiti Malaysia Perlis (UniMAP).

Seramai 2,429 pelajar tampil mendaftar diri bagi mengikuti 38 program Sarjana Muda termasuk dua program baru iaitu Teknologi Maklumat (Permainan Komputer) dan Sains Komputer (Sistem Keselamatan) di Universiti Teknikal Melaka (UTeM).

Peningkatan kemasukan
Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Skudai mencatatkan peningkatan skor kemasukan apabila menerima pendaftaran 2,553 pelajar yang memperoleh CGPA 3.8 ke atas.

Universiti Tun Hussien Onn Malaysia di Batu Pahat pula menerima pendaftaran masuk seramai 2,400 pelajar.

Universiti Malaysia Pahang (UMP) pula menerima kemasukan 1,905 pelajar dengan 71 peratus daripada mereka memperoleh nilai gred kumulatif (CGPA) minimum 3.0 ke atas menerusi dua kampusnya di Gambang dan Pekan.

Di Kelantan, 2,500 pelajar baru tampil mendaftar masuk di tiga kampus Universiti Malaysia Kelantan (UMK) di Pengkalan Chepa, Bachok dan Jeli.

Universiti Malaysia Sabah (UMS) pula mencatatkan peningkatan lima peratus pelajar baru berbanding tahun lalu apabila menerima kemasukan 5,072 pelajar tahun ini.

Sementara itu di Kota Samarahan, Sarawak, seramai 3,968 pelajar ditawarkan mengikuti pelbagai kursus di Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS).

Sementara itu, baki 10 buah lagi IPTA dijangka menerima dan mengumumkan pendaftaran pelajar baru masing-masing hari ini.

No comments:

Post a Comment