Monday, 7 October 2013

Anak nelayan terima Anugerah Pelajaran Diraja


Majlis Konvokesyen Ke-8 Universiti Malaysia Pahang (UMP) hari ini memberi seribu makna buat seorang nelayan, Abdul Basir Jaafar, 68, dari Kampung Gelugor, Kemaman, Terengganu apabila anak perempuannya diumumkan sebagai penerima Anugerah Pelajaran Diraja (Pingat Jaya Cemerlang).


Walaupun bukan kali pertama menjejakkan kaki ke majlis konvokesyen, tetapi perasaan cukup berbeza apabila anak keempat daripada lapan beradik, Nurul Fatimah, 24, yang mengikuti pengajian Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Kimia (Teknologi Gas) diumumkan sebagai penerima anugerah yang menjadi idaman setiap penuntut cemerlang.

Menurut Abdul Basir, dia amat bersyukur dengan kejayaan anaknya hasil penat lelah selama ini dan berharap kejayaan tersebut menjadi contoh kepada adik-adiknya.

Sementara itu, Nurul Fatimah yang juga penerima anugerah dekan sebanyak lima kali teruja apabila dinobatkan sebagai penerima Anugerah Pelajaran Diraja (Pingat Jaya Cemerlang) yang disampaikan oleh Canselor UMP, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah.

"Saya tidak meletakkan harapan tinggi apabila menghantar pencalonan untuk anugerah tersebut kerana semasa pengajian di peringkat diploma saya telah mencuba, tetapi tidak terpilih.

"Bagaimanapun, saya amat bersyukur apabila dipilih dan kejayaan ini tidak akan tercapai tanpa dorongan ibu bapa dan keluarga," jelasnya yang bercita-cita untuk menjadi seorang jurutera.

Nurul Fatimah antara 2,095 graduan UMP yang menerima ijazah dan diploma masing-masing pada Majlis Konvokesyen Ke-8 yang berlangsung di Kompleks Sukan UMP, Gambang.

Sumber : Utusan Online

No comments:

Post a Comment