Friday, 18 October 2013

Proaspirasi menang semua kerusi di UPNM


Kesemua kerusi yang dipertandingkan dalam Pilihan Raya Kampus Majlis Perwakilan Pelajar (MPP), Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) sesi 2013/2014 dimenangi tanpa bertanding.


Perkara tersebut diumumkan Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UPNM, Prof. Madya Dr. Mohamad Fadzil Che Din selepas sesi penamaan calon yang berlangsung.

Penamaan calon bagi kesemua kerusi yang dipertandingkan iaitu sebanyak 14 kerusi merangkumi lima kerusi umum dan sembilan kerusi fakulti. Kerusi fakulti tersebut masing-masing tiga di Fakulti Pengajian Pengurusan Pertahanan, Fakulti Sains dan Teknologi Pertahanan serta Fakulti Kejuruteraan.

Menurut Mohamad Fadzil, kemenangan tersebut membuktikan bahawa sokongan mahasiswa terhadap kerajaan masih mantap dan relevan.

Empat perkara dalam ikrar yang dilafazkan barisan MPP UPNM adalah mempertahankan kedaulatan negara, menjunjung kedaulatan Yang di-Pertuan Agong, menjulang kedaulatan bersama kerajaan dan memperkasakan kedaulatan kewujudan mahasiswa.

UPNM adalah universiti terawal menjalankan pilihan raya kampus bagi sesi kali ini.

Sementara itu, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) akan mengadakan pilihan raya kampus pada 23 Oktober ini diikuti Universiti Sains Malaysia (USM) (24 Oktober) manakala Universiti Utara Malaysia (UUM) pada 28 Oktober ini.

No comments:

Post a Comment