Wednesday, 23 October 2013

UPM : 7,149 graduan terima ijazah, diploma


Sebanyak 7,149 graduan akan menerima ijazah dan diploma masing-masing merangkumi pelbagai peringkat pengajian iaitu ijazah doktor falsafah (Ph.D), sarjana, sarjana muda dan diploma dalam majlis Konvokesyen Universiti Putra Malaysia (UPM) Ke-37, selama tiga hari bermula Sabtu ini.


Naib Canselornya, Prof. Datuk Dr. Mohd. Fauzi Ramlan berkata, majlis yang berlangsung di Dewan Besar, Pusat dan Kesenian Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (PKKSSAAS) itu akan diperkenan oleh Tuanku Canselor UPM, Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Baginda turut mengurniakan ijazah Ph.D, sarjana, sarjana muda dan diploma kepada graduan pada hari pertama dan kedua konvokesyen tersebut
Yang turut hadir Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Prof. Datin Dr. Aini Ideris dan Timbalan Naib Canselor (Jaringan Industri dan Industri), Prof. Dr. V. Renuganth.

Dalam majlis itu juga, UPM akan menganugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Sains kepada Presiden Institusi Teknologi Kyushu (Kyutech), Prof. Dr. Morio Matsunaga.

Tuanku Canselor turut berkenan mengurniakan hadiah kepada enam pemenang anugerah-anugerah peringkat universiti, antaranya Hadiah Pingat Emas Canselor dan Pingat Emas Alumni kepada Muhammad Syawal Amran, graduan Ijazah Muda Pendidikan (Bimbingan dan Kaunseling).
Hadiah Anugerah Pelajaran Diraja kategori bumiputera pula dikurniakan kepada Siti Zubaidah Mohamed Isa, graduan Program Doktor Perubatan manakala bagi bukan bumiputera (Boey Tze Zhou, graduan Ijazah Sains Pertanian).

Sebanyak 84 graduan daripada empat program sulung iaitu Program Sarjana Muda Sains Teknologi Alam Sekitar, Sarjana Teknologi Makanan, Sarjana Kesihatan Awam dan Sarjana Patologi turut menerima ijazah masing-masing.

Konvokesyen kali ini turut memperlihatkan sebilangan atlet tanah air yang mengharumkan nama negara menerima ijazah masing-masing, antaranya olahraga negara, S. Kannan; pemain hoki, Ahmad Kazamirul Nasruddin dan atlet renang berirama, Tan May Mei.

Orang ramai menghadiri Ekspo Pertanian dan Pesta Konvokesyen UPM dengan tema 'Pertanian Bandaran Memupuk Kesejahteraan Rakyat' yang bermula Jumaat hingga 30 Oktober ini.


No comments:

Post a Comment