Thursday, 31 October 2013

USIM, JLKN meterai perjanjian laksana BSKN


Kementerian Pertahanan melalui Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN) memeterai perjanjian bersama Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) menjadikan institusi pengajian tinggi awam ini sebagai yang pertama melaksanakan Briged Sukarelawan Khidmat Negara (BSKN). 


Melalui perjanjian itu, menjadikan BSKN ini sebagai subjek kokurikulum berkredit yang pertama di USIM, sekali gus menyumbang kepada hubungan berterusan bekas pelatih Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) yang melanjutkan pelajaran ke institusi pengajian tinggi (IPT) dalam negara ini.

Timbalan Menteri Pertahanan, Datuk Abdul Rahim Bakri berkata, ini adalah sebahagian dalam agenda di bawah Strategi Lautan Biru Negara (NBOS), yang mana menyaksikan jalinan kerja antara jabatan diperkuatkan.

“Kita dimaklumkan kursus ini telah bermula pada semester pertama sesi 2013/2014 yang ditawarkan hanya kepada bekas pelatih PLKN.

“Kuliah bagi setiap semester mengambil masa 14 minggu pengajaran dan pembelajaran, mengikut jadual pengajian universiti," katanya ketika berucap dalam majlis menandatangani memorandum perjanjian antara Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN) dan USIM serta pelancaran BSKN kali pertama di IPT di sini hari ini.


Objektif BSKN ini yang diperkenalkan dalam IPT ialah melahirkan sukarelawan yang bertanggungjawab kepada diri, keluarga, masyarakat serta cintakan negara dan mahu melahirkan juga pemimpin dalam kalangan sukarelawan yang mampu menjadi ejen penggerak gelombang kesukarelaan dalam masyarakat, selain mendidik mahasiswa agar memiliki ilmu, kemahiran, pengetahuan dan pengalaman sebagai sukarelawan. 

“Pada masa yang sama, pelajar dalam program BSKN ini akan dididik supaya memperoleh kelulusan akademik cemerlang dan kemahiran insaniah tinggi agar dapat berbakti kepada agama, bangsa dan negara.

Sumber : Utusan Malaysia

No comments:

Post a Comment