Friday, 8 November 2013

Kolej Bunga Raya juara Perarakan Citrawarna Unimas


Kolej Bunga Raya dinobatkan sebagai juara Perarakan Citrawarna sempena Festival Konvokesyen Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) 2013.



Kolej Bunga Raya yang menggunakan konsep 'Flora dan Fauna Dalam Lautan' berjaya menewaskan lima peserta lain sekali gus membawa pulang Piala Kenyalang, wang tunai RM2,000, trofi serta hamper.

Kolej Cempaka yang membuat persembahan berkonsepkan 'Derapan Rimba' dan Kolej Allamanda (Enchanted Forest) pula masing-masing memenangi tempat kedua dan ketiga.

Kolej Cempaka membawa pulang hadiah wang tunai RM1,500, trofi dan hamper manakala Kolej Allamanda menerima hadiah wang tunai RM1,000, trofi dan hamper.

Keceriaan jelas terpancar pada wajah warga Kolej Bunga Raya dan Kolej Cempaka apabila pasukan mereka masing-masing dipilih sebagai pemenang kategori Susunan Muzik Terbaik dan Kostum Terbaik.
Hadiah kepada para pemenang disampaikan Timbalan Ketua Menteri, Tan Sri Alfred Jabu Numpang.

Yang turut hadir, isteri beliau, Datuk Seri Empiang Jabu; Naib Canselor Unimas, Datuk Prof. Dr. Mohamad Kadim Suaid dan Pengerusi Lembaga Pengarah Unimas, Datuk Dr. Hatta Solhi.

Festival Konvokesyen tersebut diadakan sempena Majlis Konvokesyen Unimas Kali Ke-17 yang dijadual berlangsung di Dewan Tunku Abdul Rahman Putra (Detar Putra) pada Sabtu dan Ahad.

Selain Perarakan Citrawarna, antara program lain sempena festival tersebut adalah Battle of The Band (2, 3 November), Rock The World Band Search Tour 2013 (8 November), Tarian Moden dan Konsert Perdana (9 November) serta Pertandingan Senam Seni dan Gema Puisi Samarahan (10 November).

Selain warga kampus, orang ramai juga dijemput hadir beramai-ramai bagi memeriahkan lagi sambutan Festival Konvokesyen Unimas 2013 itu.

No comments:

Post a Comment