Wednesday, 13 November 2013

UiTM sasar tingkatkan 250,000 jumlah pelajar menjelang 2020

 
Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu‘adzam Shah menyambut baik dan memberikan sokongan agar Universiti Teknologi Mara (UiTM) menyasarkan peningkatan jumlah pelajarnya kepada 250,000 menjelang 2020. 



Seri Paduka bertitah, dengan peningkatan pengambilan yang besar, UiTM mampu memberi ruang dan peluang kepada pelajar bumiputera untuk melanjutkan pengajian, seterusnya mengubah destini masa hadapan mereka.

‘‘Beta menyeru kepada semua pihak yang terlibat bersama-sama menjalankan perancangan yang sistematik dan strategik dalam merealisasikan hasrat ini.

‘‘Beta percaya dengan pembinaan kampus-kampus baharu UiTM di luar bandar dapat mengekang keciciran anak bangsa dalam pendidikan," titah Seri Paduka ketika berkenan menyempurnakan Majlis Istiadat Konvokesyen Ke-79, UiTM di Dewan Agong Tuanku Canselor (DATC).

Raja Permaisuri Agong, Tuanku Hajah Haminah turut berkenan berangkat ke majlis tersebut.
Yang turut hadir Pro Canselor UiTM, Tan Sri Arshad Ayub; Pengerusi Lembaga Pengarah UiTM, Tan Sri Dr. Wan Mohd. Zahid Mohd. Noordin dan Naib Canselor UiTM, Prof. Tan Sri Dr. Sahol Hamid Abu Bakar.

Sebelum ini Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menyarankan agar UiTM menyasarkan peningkatan jumlah pelajarnya kepada 250,000 orang menjelang 2020.

Tuanku Abdul Halim bertitah, pembinaan kampus-kampus baharu UiTM juga diharap dapat memberi limpahan ekonomi dan kemakmuran yang boleh dirasai bersama oleh semua lapisan masyarakat.

Seri Paduka bertitah, pencapaian UiTM melalui Program Mengubah Destini Anak Bangsa (MDAB) juga telah berjaya melahirkan graduan sulungnya yang akan menerima ijazah mereka pada konvokesyen kali ini.
‘‘Beta dimaklumkan bahawa dua graduan sulung program ini dinobatkan sebagai penerima Anugerah Naib Canselor setelah memperoleh kejayaan cemerlang iaitu mendapat Purata Nilai Gred Kumulatif (CGPA) 3.7 ke atas.

‘‘Beta berharap UiTM dapat memastikan graduan yang dilahirkan mampu mempunyai kebolehpasaran yang tinggi supaya sentiasa menjadi pilihan utama industri dalam bidang kerjaya, sekali gus meletakkan nama universiti ini sentiasa di hadapan setanding dengan institusi terkemuka di dunia," titah Seri Paduka.

Sempena Istiadat Konvokesyen UiTM Ke-79 tersebut, Yang di-Pertuan Agong turut berkenan menganugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Undang-Undang kepada Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Abdul Taib Mahmud.

Sumber : Utusan Malaysia

No comments:

Post a Comment