Wednesday, 20 November 2013

UPM diiktiraf antara 100 terbaik dalam bidang pertanian


Universiti Putra Malaysia (UPM) diiktiraf antara 100 yang terbaik dalam bidang pertanian, perhutanan serta pendidikan mengatasi lebih 2,000 universiti lain berdasarkan kajian terbaharu Kedudukan Universiti Dunia QS 2013/2014.


Menurut Naib Canselor UPM, Prof. Datuk Dr. Mohd. Fauzi Ramlan, bidang Pertanian dan Perhutanan universiti itu berkongsi kedudukan 51 ke 100 dengan beberapa universiti Asia iaitu Universiti Pertanian dan Teknologi Tokyo, Jepun; Universiti Zhejiang, China; Universiti Kebangsaan Taiwan; Universiti Korea, Korea Selatan dan Universiti Chiang Mai, Thailand.

Pada masa sama, katanya, bidang pendidikan UPM turut berkongsi kedudukan 51 ke 100 dengan tiga universiti Asia lain iaitu Universiti Malaya (UM), Universiti Peking, China serta Universiti Kebangsaan Seoul, Korea Selatan. 

Sumbangan serta pencapaian fakulti terlibat dalam bidang berkenaan menunjukkan UPM berjaya membangunkan reputasi antarabangsa untuk standard akademik dan kualiti graduan.

Antara kriteria yang diutamakan dalam penarafan itu adalah pembinaan profil kukuh dalam kalangan ahli akademik, penyelidikan berimpak tinggi, pengembangan dan pengajaran kepada masyarakat serta pengiktirafan majikan terhadap graduan di seluruh dunia. 

Peningkatan prestasi fakulti dan institusi bidang itu di UPM dalam aspek pengajaran, penyelidikan, penerbitan dan jaringan antarabangsa serta kebangsaan turut membantu dalam mendapatkan kedudukan tersebut. 


No comments:

Post a Comment