Monday, 4 November 2013

USM sasar terbit 100 buku setahun



Universiti Sains Malaysia (USM) menyasar menerbitkan 100 buah buku ilmiah setahun dalam masa lima tahun akan datang.


Naib Canselornya, Prof. Datuk Dr. Omar Osman berkata, langkah itu bagi memastikan penghasilan bahan-bahan ilmiah sebagai rujukan dapat ditingkatkan.

Katanya, sehingga kini universiti itu menerusi Penerbit USM menerbitkan purata 40 hingga 50 buku setahun selain berjaya menembusi pasaran di hampir 30 buah negara di serata dunia.

"Sekarang fokus kita adalah untuk memastikan buku-buku yang berkualiti dicetak selain meningkatkan penghasilan bahan rujukan umum untuk masyarakat.

"Langkah ini juga selari dalam memastikan buku-buku atau bahan rujukan cetakan Penerbit USM bertaraf antarabangsa," katanya kepada pemberita selepas majlis pelancaran 41 buah buku terbitan Penerbit USM, di universiti itu, di sini hari ini.

Dalam majlis yang turut dihadiri Pengarah Penerbit USM, Akhiar Salleh itu sebanyak 60 peratus daripada 41 buku yang diterbitkan adalah dalam lapangan sastera manakala bakinya merupakan bahan ilmiah dalam lapangan sains.

Selain itu, Omar menambah, antara masalah yang dihadapi dalam bidang penerbitan adalah untuk mendapatkan penulis yang baik.

Katanya, kebanyakan kakitangan universiti merupakan penyelidik yang kurang kepakaran dalam penulisan dan ia menyukarkan usaha menerbitkan bahan ilmiah.

"Apa pun kita akan memberi fokus kepada masalah ini dalam memastikan matlamat menerbitkan lebih banyak buku berkualiti sebagai bahan rujukan tercapai," katanya.

Tambah beliau, antara masalah lain dihadapi pihak penerbit adalah segmen pasaran yang terhad memandangkan untuk mencapai tahap pemasaran global, penulis dan kualiti penerbitan harus berada di tahap yang tinggi.

No comments:

Post a Comment