Wednesday, 4 December 2013

UiTM johan Kuiz Pelaburan PNB 1Malaysia


Universiti Teknologi Mara (UiTM) menjuarai pertandingan Kuiz Pelaburan Permodalan Nasional Berhad (PNB) 1Malaysia 2013 kategori universiti dengan mengalahkan tiga pesaing di peringkat akhir. 


UiTM yang kali pertama menjadi johan pertandingan tersebut berjaya membawa pulang piala pusingan, piala iringan dan hadiah keseluruhan berjumlah RM8,000.

Penuntut Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Perniagaan Kepujian (Kewangan) UiTM, Muhammad Naguib Khaidzir, 22, mengakui merasa bangga kerana dapat membantu mengharumkan nama universitinya.

"Sebagai pelajar UiTM, saya ingin mengukuhkan lagi moto universiti iaitu memperkasakan destini anak bangsa.

"Saya mewakili rakan-rakan seperjuangan mengucapkan terima kasih kepada pensyarah, ibu bapa dan semua yang mendoakan kejayaan kami sepanjang pertandingan ini," katanya.
 
Kolej Universiti Tunku Abdul Rahman (KTAR), Universiti Taylor's dan Universiti Malaysia Sabah (UMS) masing-masing mendapat tempat kedua, ketiga dan keempat.

Hadiah para pemenang telah disampaikan oleh Pengerusi PNB, Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid sejurus selesai berucap di majlis penyampaian hadiah pertandingan tersebut di Universiti Tenaga Nasional (Uniten), Bangi dekat sini.

Dalam ucapannya, beliau berkata, jumlah penyertaan pertandingan itu pada tahun ini lebih menggalakkan berbanding sebelum ini.

"Pada tahun ini, 34 buah universiti di seluruh negara telah mengambil bahagian dengan penyertaan seramai 3,634 pelajar berbanding 3,300 peserta pada tahun lalu," katanya.

Hadir sama, Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan PNB, Tan Sri Hamad Kama Piah Che Othman dan Naib Canselor Uniten, Datuk Seri Prof. Ir. Dr. Mashkuri Yaacob.

Sumber : Utusan Online

No comments:

Post a Comment