Saturday, 4 January 2014

Prof. Datuk Dr. Noor Azlan Ghazali dilantik sebagai Naib Canselor UKM

NC2014 
Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Akademik dan Antarabangsa) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Datuk Dr. Noor Azlan Ghazali dilantik sebagai Naib Canselor UKM yang baharu.


Pelantikan tersebut adalah bagi tempoh tiga tahun iaitu sehingga 31 Disember 2016 bagi menggantikan Prof. Tan Sri Dr. Sharifah Hapsah Syed Hasan Shahabudin.

Noor Azlan memperolehi ijazah Sarjana Pentadbiran Awam (MPA) dari Harvard University serta Ijazah Doktor Falsafah Ekonomi (PhD) dan Sarjana Pentadbiran Perniagaan (MBA) dalam bidang kewangan dari University of Nebraska-Lincoln, kedua-duanya di Amerika Syarikat.

Beliau memulakan perkhidmatan sebagai pensyarah di Fakulti Pengurusan Perniagaan UKM pada 1988 sebelum diberi tanggungjawab memegang jawatan pentadbiran.

Noor Azlan juga pernah menjawat jawatan Dekan Fakulti Ekonomi dan Pengurusan di UKM sebelum dilantik sebagai Dekan UKM-Graduate School of Business (UKM-GSB) dan Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Akademik & Antarabangsa) pada 2011.

Pengalaman luas yang dimiliki membolehkan beliau dilantik sebagai Ketua Kluster, Ekonomi dan Pengurusan di bawah Majlis Profesor Negara selain turut dipinjamkan ke Jabatan Perdana Menteri bagi mengetuai pelbagai unit pada 2006 sehingga September 2009.

Antara unit yang pernah diketuai beliau adalah Kumpulan Perunding Globalisasi, Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN), Pengarah Makroekonomi dan Pelaburan, Direktorat Pelaksana Kebangsaan dan Pengarah Institut Pembangunan Malaysia.



No comments:

Post a Comment