Thursday, 6 March 2014

Kursus kejuruteraan UiTM terima iktiraf tertinggi badan profesional


Universiti Teknologi Mara (UiTM) mencipta sejarah dalam pembangunan akademik di negara ini apabila tiga kursus kejuruteraan yang ditawarkan di universiti itu menerima pengiktirafan tertinggi daripada badan profesional. 


Naib Canselor UiTM, Tan Sri Dr. Sahol Hamid Abu Bakar berkata, pengiktirafan lima tahun itu diberikan oleh Majlis Akreditasi Malaysia (AEC) dan Lembaga Jurutera Malaysia dengan kerjasama badan akreditasi dunia, Washington Accord.

Menurutnya, tiga kursus kejuruteraan yang menerima pengiktirafan tersebut ialah Ijazah Sarjana Muda (Kepujian) Kejuruteraan Awam, Ijazah Sarjana Muda (Kepujian) Kejuruteraan Mekanikal dan Ijazah Sarjana Muda (Kepujian) Kejuruteraan Kimia Bio Proses.

"Pengiktirafan kursus kejuruteraan ini bagi tempoh maksimum lima tahun menandakan UiTM sebagai institusi untuk bumiputera telah berjaya mengatasi lain-lain institut pengajian tinggi awam (IPTA) di negara kita yang menawarkan kursus yang sama.

"Ia boleh dianggap sebagai satu pencapaian yang besar kerana kita mendapat pengiktirafan untuk tempoh yang panjang tanpa perlu dinilai semula tahun ke tahun," katanya kepada pemberita selepas mengadakan pertemuan dengan dekan-dekan fakulti kejuruteraan UiTM di sini hari ini.

Yang hadir sama, Dekan Fakulti Kejuruteraan Awam, Prof. Dr. Azmi Ibrahim; Dekan Fakulti Kejuruteraan Kimia, Prof. Madya Dr. Ayub Md. Som; Dekan Fakulti Kejuruteraan Mekanikal, Prof. Ir. Dr. Ahmed Jaafar dan Pengarah Bahagian Komunikasi Korporat, Alfina Bakar.

Tambah Sahol, alumni dan pelajar UiTM kursus-kursus tersebut seharusnya berbangga dengan tempoh akreditasi tersebut kerana ia hanya diberi kepada IPTA yang benar-benar menepati kriteria yang ditetapkan badan-badan akreditasi yang berkenaan.

"Bagi mendapat pengiktirafan akreditasi lima tahun setiap program mestilah tidak mempunyai kekurangan dan kelemahan dari segi tenaga pengajar, kemudahan pembelajaran, silibus dan kertas peperiksaan yang sentiasa dikemaskini dan segalanya perlu berkualiti.

"Kita berbangga kerana kemudahan di setiap fakulti dianggap sebagai yang terbaik di negara ini. Apa yang penting graduan yang kita hasilkan daripada program-program terbabit sentiasa menjadi rebutan dan mempunyai kebolehpasaran yang tinggi," katanya.

Menurutnya, selain kursus kejuruteraan, kursus-kursus di bawah Fakulti Pergigian, Farmasi dan Perubatan turut mendapat pengiktirafan akreditasi lima tahun.

Sumber : Utusan Online

No comments:

Post a Comment