Monday, 21 November 2016

Universiti swasta, GLU tak dihalang naikkan yuran.


Tiada halangan untuk pihak universiti swasta dan universiti berkaitan kerajaan (GLU) menaikkan yuran pengajian di institusi masing-masing, kata Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh. 



Jelasnya perkara berkenaan adalah selaras dengan kuasa autonomi yang dimiliki universiti-universiti berkenaan dalam melaksana kerja-kerja pentadbiran di tempat mereka. "Universiti swasta sudah diberikan hak autonomi untuk menjalankan kerja-kerja mereka dan ini adalah satu daripada proses liberalisasi dalam pendidikan tinggi yang kita laksanakan," katanya kepada media di sini hari ini. 

Terdahulu, Idris menyaksikan majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) diantara GLU yang terdiri daripada Universiti Teknologi Petronas, Universiti Tenaga Nasional, Multimedia Universiti dan Universiti Kuala Lumpur. Namun, kata beliau, universiti swasta dan GLU tidak akan sewenang-wenangnya menaikkan yuran pengajian mereka terlalu tinggi kerana akan mengakibatkan pelajar tidak akan memilih untuk belajar di institusi mereka. "GLU juga adalah universiti swasta dan bebas untuk menaikkan yuran mereka dan ia berbeza dengan universiti awam. 

Universiti swasta kalau menaikkan yuran terlalu tinggi, orang pun tidak akan pergi kerana mereka kerana masih ada pilihan lain," katanya. Beliau berkata demikian bagi mengulas ucapan Pengerusi Majlis GLU Datuk Ir (Dr) Abdul Rahim Hashim di majlis yang sama yang menyatakan peningkatan kos menyebabkan GLU sukar untuk kekal mampan dari segi kewangan tanpa menaikkan yuran pengajian. 

Mengenai Akta Institusi Pendidikan Tinggi Swasta 1996 (Akta 555), Idris berkata semakan untuk akta tersebut sudah mendapat syor daripada pihak Peguam Negara. "Perkara ini akan dibawa ke kabinet dan jika sempat kita akan bentang bacaannya di sidang Dewan Rakyat yang ada sekarang," katanya. 

Dalam pada itu, Idris turut ditanya mengenai tindakan yang akan dikenakan kepada mahasiswa sekiranya terlibat dalam perhimpunan haram Bersih 5 Sabtu lalu.

Sumber berita harian.

No comments:

Post a Comment